SELAMAT DATANG KE UNIT KOKURIKULUM SMK AYER BALOI..... SMKAB Unggul Penjana Generasi Terbilang  

Kemerdekaan ke 52 tahun

Selamat Menyambut Hari kemerdekaan ke 52.

Marilah kita bersama-sama bersyukur kepada Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Kali Ke-52 pada tahun ini. Sesungguhnya, kemerdekaan ini amat bermakna kepada kita kerana kemerdekaan, kedaulatan dan kemakmuran negara terus terpelihara. Nikmat yang sedang kita kecapi ini tidak ternilai harganya dan bukanlah diperoleh dengan cara yang mudah tetapi hasil daripada pengorbanan dan perjuangan para pemimpin kita pada masa lampau. Kemerdekaan yang dinikmati kini dapat dikekalkan melalui perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Kepentingan perpaduan rakyat ini juga ditegaskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melalui konsep 1MALAYSIA yang juga Tema Hari Kebangsaan kali ini “Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan.” 1 MALAYSIA ini akan mewujudkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara. Selain itu, konsep ini dapat menimbulkan semangat patriotik iaitu perasaan kasih, sayang dan cinta akan negara. Melalui 1MALAYSIA, pendidikan dan pengetahuan adalah antara prasyarat penting kelangsungan hidup (survival) negara untuk mencapai kemajuan. Peluang murid-murid untuk berinteraksi berasaskan kurikulum dan penekanan nilai-nilai murni akan dapat menemukan rakyat Malaysia pada satu titik persamaan iaitu perpaduan. Perpaduan yang dipupuk sejak di bangku sekolah ini akan dapat menjana keharmonian hidup bermasyarakat dan sekali gus kita dapat sama-sama berganding bahu membangunkan negara supaya dapat duduk sama rendah, ke arah sebuah negara maju. Selain itu, pendidikan dan pengetahuan dapat diperoleh melalui pembacaan. Budaya membaca mampu memperkaya dan membuka minda dengan ilmu pengetahuan dan seterusnya membangunkan masyarakat. Bermula dengan amalan membaca, akan bercambahlah minda yang kreatif dan inovatif . Sesuatu tamadun mampu dirancang dan dibina dengan hebat serta dilonjakkan dengan pemikiran yang rasional di samping iltizam yang konsisten untuk memacu kegemilangan. Oleh itu, murid-murid perlu mengamalkan budaya ilmu ini untuk memastikan kecemerlangan diri dalam pembentukan modal insan minda kelas pertama kerana ”Bangsa Membaca Bangsa Berjaya”.

 
Background by PowerDirectory